Sekiranya akaun anda telah dikompromi, serahkan tiket, hubungi salah seorang daripada kami untuk mendapatkannya kembali, kemudian kembali semula ke sini dan teruskan pembacaan.
Sahkan URL Anda
Jika halaman nampak mencurigakan, anda perlu berhati-hati. Jangan log masuk dengan bukti kelayakan Riot anda kepada mana-mana laman web selain authenticate.riotgames.com
Akaun Riot anda bukan sekadar satu nama pengguna sahaja. Akaun anda adalah hasil gabungan kerja keras, sama ada pelaburan anda dalam bentuk jam, wang atau kedua-duanya. Walaupun banyak yang telah kami lakukan bagi memastikan akaun anda selamat, masih terdapat beberapa langkah mudah yang anda boleh—dan patut!—ambil untuk menghalang pencuri, phisher dan mereka yang berniat tidak elok.
Sahkan e-mel anda
Jadikan akaun anda benar-benar milik anda dengan pergi ke halaman akaun anda dan mengesahkan e-mel anda. Langkah mudah ini sudah cukup untuk menghalang sesiapa daripada menukar kata laluan/e-mel anda tanpa mengesahkan tindakan tersebut melalui e-mel terlebih dahulu. Anda juga perlu menggunakan pengesahan berbilang faktor kami, yang boleh anda baca di bawah.
Aktifkan pengesahan berbilang faktor
MFA (Pengesahan Berbilang Faktor) ialah cara paling mudah dan terpantas untuk mengukuhkan keselamatan akaun anda dengan hanya beberapa klik. Sebaik sahaja ciri ini diaktifkan, sesiapa sahaja yang cuba log masuk ke akaun anda perlu mengesahkan identiti mereka menggunakan sama ada Riot Mobile atau e-mel yang dikaitkan dengan akaun. Ayuh dayakan MFA sekarang!
Pilih kata laluan yang teguh
Jika anda ingin mencipta kata laluan anda sendiri, cuba jauhi daripada kesalahan biasa yang dilakukan seperti kata yang mudah untuk diteka (nama rakan, ahli keluarga, dsb) dan nombor (seperti hari lahir). Kaedah yang paling mudah dan paling berkesan yang boleh kami syorkan: Pilih beberapa perkataan yang tidak berkaitan dan jarang digunakan kemudian cantumkannya. Itulah kata laluan anda.
Tetapi ini masih tidak menghasilkan kata laluan yang bagus seperti nombor, aksara khas dan kuasa sebenar pilihan rawak. Itulah sebabnya kami mengesyorkan anda...
Gunakan pengurus kata laluan
Kata laluan yang ideal adalah panjang dan rawak yang menyukarkan lagi usaha menghafal kata laluan. Jadi apa kata anda gunakan satu program yang boleh membantu anda menyelesaikan semua masalah sekaligus?
Pengurus kata laluan sangat bagus dalam mencipta dan menyimpan kata laluan yang teguh untuk apa jua jenis akaun. Tambahan lagi, kebanyakan program tersebut menawarkan ciri utamanya secara percuma! Hanya masukkan pengurus kata laluan dalam enjin carian kegemaran anda dan pilih program yang bersesuaian dengan anda.
Lindungi akaun e-mel anda
Keselamatan bermula dan berakhir di e-mel anda. Jika seseorang mengetahui maklumat log masuk e-mel anda, mereka boleh menyerahkan permintaan set semula kata laluan kepada mana-mana laman, permainan atau aplikasi dan dengan berbuat demikian mendapat akses penuh ke akaun anda. Oleh sebab itu, kebanyakan pembekal e-mel memiliki sistem pengesahan berbilang faktor mereka sendiri. Ciri ini selalunya boleh didapati di bahagian keselamatan tetapan pembekal anda tetapi jika anda tidak berjaya menemukan ciri ini, satu carian pantas akan memberitahu anda segalanya yang anda perlukan!
Log keluar ketika di tempat yang dikongsi
Boleh bermain di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa merupakan salah satu kelebihan memiliki akaun Riot. Malangnya, ini juga membuka pintu kepada potensi salah guna, oleh itu kukuhkan keselamatan! Selesai untuk hari ini? Matikan peranti. Mahu berehat sebentar? Daftar keluar terlebih dahulu. Mudah sekali.
Jangan kongsikan akaun Riot anda
Rank boosting, penjualan akaun, perkongsian profil… Kesemua aktiviti ini melanggar Terma Penggunaan kami. Selain daripada risiko disekat penggunaan, berkongsi akaun akan menyukarkan proses pemulihan akaun anda. Hanya anda patut mempunyai akses ke akaun Riot anda dan hanya menerusi akaun e-mel anda sahaja.
Berwaspada dengan cubaan pancingan data
Jika sesiapa sahaja meminta maklumat akaun anda, jangan berikan kepada mereka. Riot sudahpun memiliki akses ke akaun anda dan boleh membuat sebarang pelarasan tanpa meminta kata laluan anda. Jika anda menerima e-mel daripada kami, senarai alamat yang disahkan ini ialah tempat yang terbaik untuk menyemak kesahihannya. Menerima sesuatu yang kelihatan tulen tetapi bukan dari mana-mana domain yang disenaraikan? Hantarkan tiket kepada kami dan kita akan menyiasatnya bersama-sama!